Bersopan santun amalan kehidupan.
Perkataan sopan bermaksud beradab. Manakala santun bererti tahu tertib peraturan, halus budi pekerti, tahu adat, berbudi bahasa, baik akhlaknya, baik perangai dan kelakuan, tidak cabul, teratur dan rapi, mengikut peraturan.
Budaya sopan santun di kalangan masyarakat kita merupakan budaya yang diwarisi daripada ajaran dan asuhan nenek moyang. Ianya kekal hingga ke hari ini menjadi amalan cara hidup yang melambangkan identiti hidup bermasyarakat.
Di zaman kecanggihan teknologi ini, ramai yang sudah lupa akan budaya masyarakatnya terutama generasi muda kita. Budaya sopan santun dalam pergaulan, cara berpakaian, adab bertutur dengan orang tua tidak begitu diambil perhatian. Jika hal ini tidak diambil serius kemungkinan akan melahirkan generasi yang tidak tahu bersopan santun dan akan menimbulkan pelbagai masalah tatasusila, pergaulan dan sebagainya.
Masyarakat Melayu islam khasnya terkenal dengan budaya bersopan santun. Maka inilah yang mesti dikekalkan menjadi gaya hidup seharian. Justeru itu, semua pihak mestilah memainkan peranan dalam menyebarkan dan mengekalkan budaya berkenaan, terutamanya di kalangan generasi muda, kerana mereka inilah bakal pewaris generasi lama.
Pendidikan awal di rumah menjadi asas dalam menyalurkan didikan dan asuhan kepada anak-anak supaya mengenal erti sopan santun, contohnya ibu bapa mengajar anak-anak supaya memberi salam dan mencium tangan orang tua sebelum pergi ke mana-mana, membongkokkan badan sedikit ketika melintas di khalayak ramai, memakai pakaian dengan kemas dan sesuai tidak kira di dalam atau luar rumah, di sekolah atau ketika dalam majlis.
Pendidikan di rumah memainkan peranan penting dalan membentuk peribadi anak-anak supaya patuh bersopan santun.
Masyarakat umum juga hendaklah turut terlibat dalam memastikan budaya tersebut dapat diamalkan dalam setiap urusan baik di rumah, pejabat, jalan raya, di pusat membeli-belah dan sebagainya.
Jika budaya bersopan santun dapat dikekalkan dalam kehidupan seharian, insya-Allah kita akan dapat hidup
dalam suasana yang aman dan bersatu padu.
Budaya bersopan santun merupakan lambang keperibadian orang melayu islam sejak dahulu hingga sekarang, maka sewajarnyalah ianya tetap dikekal dan diperkukuhkan lagi bagi menangkis budaya-budaya negatif yang sedang meracuni pemikiran dan tingkah laku terutama di kalangan generasi muda dan tua.
Teruskan dengan kesopanan kita walaupun kita ditindas.
BalasPadamreject politicians using religion