20090220

PERPADUAN MELAYU: ADAKAH SATU ILUSI ?





Penjajahan tentera Jepun dan pembentukkan Malayan Union selepas Perang Dunia kedua telah meransang bangsa Melayu untuk melakukan sesuatu yang begitu radikal dan asing untuk mereka. Perkara yang dirasakan paling mustahil dan tidak dirasakan berjaya, telah terpahat di dalam sejarah sebagai pencapaian bangsa Melayu yang sangat phenomenal.
Niat suci bangsa Melayu ketika itu adalah untuk mempertabat dan mempertahankan maruah diri. Niat ini amat mustahil dilaksanakan jika hanya melibatkan sekerat dua pejuang Melayu tetapi perlaksanaannya sebenarnya melibatkan perubahan mentaliti dan kekuatan seluruh bangsa Melayu.
Perubahan bersepadu dan besar-besaran bangsa Melayu ke arah merealisasikan niat mereka ini amat kita kagum dan sanjungi. Malah tindakan bersepadu bangsa Melayu ketika itu telah memeranjatkan wakil-wakil kerajaan British. Desakan dan kekuatan bangsa Melayu terasa begitu bisa dan boleh menimbulkan permasalahan yang amat besar kepada pihak penjajah jika tidak dituruti dengan segera.
Yang amat memberangsangkan sekali ialah ianya berlaku di dalam kehidupan bangsa Melayu yang serba kekurangan, tanpa kuasa, wang, alat komunikasi, kenderaan dan tanpa tenaga manusia yang sedia ada untuk digunakan.
Malah penyatuan Melayu secara total ketika itu berlaku di dalam masa yang begitu singkat, jika dibandingkan dengan usia keseluruhan negara, sebelum dan selepas kemerdekaan. Tempo perjuangan bangsa Melayu ketika itu begitu marak dan bahangnya dapat dirasakan hingga ke pelusuk bandar dan desa.
Justeru itu, orang muda Melayu sekarang, generasi pasca-kemerdekaan, sepatutnya meneladani sikap murni bapa dan datuk kita dulu. Kita mesti sentiasa insaf bahawa segala kesenangan dan hak-hak istimewa kita ini boleh diganggu-gugat bila-bila masa sahaja. Kita mesti bersama-sama menentang anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab ini.
Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Melayu mampu bersegera dan melakukan sesuatu yang radikal. Bangsa Melayu akan berjaya menunaikan niat mereka jika mahu, persisten dan ikhlas. Persoalannya sekarang,
1.Apakah kita, bangsa Melayu hari ini mahu bersegera merealisasikan matlamat untuk menjadi satu bangsa yang benar-benar bersatu padu dan kuat dari segala aspek kehidupan manusia?
2.Apakah muzakarah sesama Melayu akan hanya tinggal sebagai kenangan?
Sedarlah bahawa Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud:Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (Surah al-Anfal, ayat 1).







Sabda Rasulullah saw,Ciri-ciri Mukmin yang sejati ialah menghormati tetangganya, menyambungkan tali persaudaraan dan memiliki keprihatinan terhadap penderitaan yang dirasakan oleh saudaranya di sekitarnya. (Hadis diriwayat oleh Bukhari).

post : Dr Norvandri Hasan Basri